Berdasarkan firman Allah (s.w.t) dalam Al-Qur’an syaitan itu daripada golongan jin dan mereka juga seperti manusia memiliki taklif (tugas syar’i).
Menurut kata-kata Imam Ali (a.s): “Syaitan telah beribadah (kepada Allah (s.w.t)) selama enam ribu tahun dan tidak diketahui apakah dengan hitungan tahun dunia ataukah tahun akhirat (sehari akhirat sama dengan seribu tahun dunia)”. Kasih sayang Allah terbesar kepada Iblis yang pertama adalah dia telah mendapatkan taufik untuk menyembah Allah (s.w.t). Yang kedua kerana ibadahnya yang banyak, dia dimasukkan ke dalam kumpulan para malaikat. Sebaik-baik pertolongan Ilahi kepadanya adalah ia menjadi teman pendamping para malaikat sehingga dapat memahami keindahan, kesucian dan kebersihan mereka. Salah satu undang-undang Ilahi adalah semakin dalam ilmu pengetahuan dan semakin tinggi darjat seorang mukallaf, maka ketika ia melakukan kesalahan, azab yang akan ia dapati pun semakin berat!
Oleh kerana itu, setelah sempurna hujjah Ilahi atas Iblis dan ia menampakkan kesombongannya terhadap Adam, maka banyak penyampaian (khitâb) Allah (s.w.t) yang keras kepadanya yang menunjukkan kekerasan seksaan-Nya dan terjatuhnya darjat syaitan.
Dengan memperhatikan ayat-ayat Al-Qur’an seperti ayat 50 surah Al-Kahfi (18) atau ayat 31 surah Al-Hijr (15), maka akan kita sampai pada sebuah kesimpulan bahawa syaitan (Iblis) termasuk dari golongan Jin dan kerana banyaknya ibadah, dia termasuk dalam kelompok malaikat. Kisah tentang kesombongan syaitan (sebagai ujian baginya) disebut kira-kira tujuh kali dalam Al-Qur’an dan hal itu sangat menarik. Kisah ini memiliki beberapa bahagian:
- Perintah Ilahi untuk sujud kepada Adam (a.s).
- Keistimewaan-keistimewaan khusus Nabi Adam sehingga berdasarkan hal itu, Allah (s.w.t) mengeluarkan perintah untuk sujud kepadanya.
- Pembangkangan Iblis dan penolakannya untuk sujud.
- Jawapan dia dalam menjelaskan sebab kesombongan ini:
“Tidak layak bagiku untuk sujud kepada seorang manusia yang telah Engkau ciptakan dari tanah berbau yang dikeringkan”.[1]
Dalam ungkapan lainnya dia berkata: “Aku lebih baik daripadanya. Aku diciptakan daripada api sedangkan dia daripada tanah”.[2]
Ini adalah ujian yang besar baginya, dan seluruh ibadah yang ia lakukan sebagaimana yang diungkapkan oleh Imam Ali (a.s): “Selama enam ribu tahun Iblis telah beribadah (kepada Allah (s.w.t)) dan tidak diketahui apakah hitungan tahun dunia atau tahun akhirat (sehari akhirat sama dengan seribu tahun dunia).[3]
Dan setelah ujian ini jatuhlah martabatnya dan bahkan diusir. Allah (s.w.t) berfirman: “Keluarlah, sesungguhnya engkau telah terkutuk”.[4] “Engkau terlaknat hingga hari Kiamat”.[5]
Dengan demikian, kita harus menjaga diri kita. Kita yakin, jika Allah (s.w.t) memberikan taufik-Nya dan kita telah melangkahkan kaki di jalan yang benar selama beberapa hari, maka sampai akhir hayat hal ini harus kita pertahankan. Dunia adalah kawasan pergolakan. Manusia selama hidupnya sentiasa berjalan di atas jalan yang curam yang kemungkinan boleh jatuh. Sebab itu kita harus sentiasa mohon kepada Allah (s.w.t) agar berakhir dengan kehidupan yang baik.
Bahagian lain adalah interaksi Iblis setelah ia diusir. Ketika ia mendapat masalah yang serius dan telah jatuh dari kedudukan martabat yang tinggi yang pernah ia miliki kerana enggan untuk sujud kepada Adam (a.s), lalu dia menjadikan Adam sebagai musuh utamanya sambil berkata: “(Tuhanku) seandainya engkau tangguhkan aku sampai hari Kiamat, maka anak keturunan Adam akan aku pandu di bawah perintahku, kecuali sekelompok kecil daripada mereka (yang aku tidak sanggup menyesatkannya)”.[6]
Di dalam surah Shad, ayat 82 disebutkan bahawa:
“Dan aku bersumpah dengan kekuatan-Mu, aku akan sesatkan mereka semua”.[7]
Dengan berakhirnya muqaddimah ini, jelaslah bahawa pertama: Syaitan termasuk dari golongan Jin. Posisi mereka pula sama seperti manusia; memiliki taklif. “Mereka semua sujud kecuali Iblis dan dia dari bangsa Jin”.[8] “Kami tidak menciptakan Jin dan Manusia kecuali untuk menyembah (Tuhan)”.[9]
Jin dan juga syaitan adalah makhluk yang memiliki ikhtiar dan kehendak . Mereka berada di antara dua jalan yang harus mereka pilih salah satu daripadanya. Jika kebenaran yang mereka pilih, maka mereka akan memperolehi pahala kebaikan. Tetapi jika kebatilan yang mereka pilih, maka mereka akan diseksa. Ayat 56 surah Al-Dzariyat yang telah disebutkan di atas, menunjukkan bahawa jin dan manusia sama-sama memiliki taklif dalam beribadah. Al-Qur’an al-Karim juga menukil perkataan jin itu sendiri bahawa mereka terbahagi menjadi dua kelompok; ada yang baik dan ada yang jahat. “Dan di antara kami terdapat kelompok yang soleh dan sekelompok selain itu, kami memiliki bahagian yang berbeza-beza”.[10]
Kedua: Rahmat Ilahi terbesar kepada Iblis adalah bahawa ia telah memperolehi taufiq beribadah kepada Allah (s.w.t) sehingga ia dikumpulkan dengan para malaikat dikeranakan banyaknya ibadah yang ia lakukan. Begitu tinggi kedekatannya kepada Allah sehingga Al-Qur’an mengecualikan Iblis dalam peristiwa sujud sekelompok para malaikat kepada Adam: “Seluruh malaikat bersamaan sujud kecuali Iblis”.[11] Pemberian hak terbesar Allah adalah pertolongan-Nya kepada Iblis supaya dapat hidup berdampingan dengan para malaikat sehingga ia dapat memahami keindahan, kesucian dan kebersihan mereka. Dan salah satu undang-undang ciptaan Ilahi adalah bahawa semakin dalam ilmu pengetahuan yang dimiliki dan semakin tinggi darjat seorang mukallaf, maka ketika kelihatan kesalahan dan kekeliruan yang keluar darinya, maka balasan azabnya pun akan lebih berat juga.
Oleh kerana itu setelah Allah menyempurnakan hujjah-Nya kepada Iblis (dapat beribadah dan berdampingan dengan para malaikat) dan kesombongannya terhadap Adam, maka firman-firman Allah yang keras merupakan tanda atas seksaan yang berat dan turunnya darjat Iblis.[]
[1]. Qs. Al-Hijr (15):33.
[2]. Qs. Al-A’raf (7):12.
[3]. Nahj al-Balâgah, diedit oleh Subhi Sholeh, Khutbah Qasiah, hal. 287.
[4]. Qs. Al-Hijr (15):34.
[5]. Qs. Al-Hijr (15):35.
[6]. Qs. Al-Isra (17):62.
[7]. Muhammad Taqi Misbah Yazdi, Ma’ârif Qurân, bah. kedua, hal. 299, Muassasah Dar Rah-e Haq.
[8]. Qs. Al-Kahfi [18]:50.
[9]. Qs. A;-Dzariat (51):56.
[10]. Qs. Jin (72):11.
[11]. Qs. Al-Hijr (15): 31.