Carian Terperinci
Pengunjung
13327
Tarikh Kemaskini 2011/07/18
Ringkasan pertanyaan
Imam Mahdi (a.j.f) dalam pandangan Syiah.
soalan
Bagaimana pandangan Syiah tentang Imam Mahdi (a.j.f)?
Jawaban Global

Oleh kerana pertanyaan di atas sangat universal dan meluas, hal ini menyebabkan kami menyentuh tentang sedikit biografi, berita-berita ghaib dan tanda-tanda kemunculan Imam Mahdi (a.j.f).

Nama beliau adalah "mim-ha-mim-dal" dan memiliki berbagai gelaran, di antaranya adalah Qaim, Shahibul 'Ashr, Shahibuz Zaman, dsb. Ayahanda mulia beliau adalah Imam Ke-sebelas iaitu Imam Hasan Askari (a.s) sedangkan ibundanya bernama Nargis. Imam Mahdi (a.j.f) dilahirkan di Samarra pada tahun 255 Hijrah.

Secara ringkas, kehidupan Imam (a.j.f) terbahagi dalam empat zaman.

Zaman pertama adalah sejak kelahirannya hingga zaman ghaib shugra (kecil) yang berlangsung sekitar lima tahun. Zaman ini merupakan masa terpenting dalam memperkenalkan imam terakhir dan dalam menyampaikan falsafah ghaib.

Zaman kedua berlangsung dari tahun 260 hingga 329 Hijrah yang dinamakan juga dengan era keghaiban kecil. Untuk mengatasi keterbatasan hubungan dan interaksi antara Imam (a.j.f) dengan masyarakat pada masa ghaib kecil ini, Imam menetapkan dan memaklumkan empat wakil atau duta-duta tertentu sebagai perantara untuk melakukan dan menjaga berlangsungnya interaksi antara Imam dengan masyarakat Syiah. Pada masa keterbatasan ini, masyarakat diajak dan diarahkan untuk bersabar, menjalinkan perpaduan dan meningkatkan ketakwaan serta melakukan persiapan-persiapan untuk menghadapi apa yang akan terjadi selanjutnya iaitu zaman ghaib kubra (besar).

Zaman ke-tiga dimulai setelah meninggalnya Ali bin Muhammad Samari, wakil terakhir Imam (a.j.f). Zaman keghaiban besar ini berlanjutan sehingga kemunculan Imam (a.j.f). Ketika itu, meskipun interaksi dan hubungan masyarakat dengan Imam telah terputus, namun masyarakat tetap berada dalam inayah dan perhatian beliau. Pada masa ini Imam (a.j.f) menunjuk dan memaklumkan para wakilnya secara umum iaitu para fuqaha Syiah.

Zaman ke-empat yang juga merupakan zaman keemasan bumi ini dimulai sejak selesainya masa ghaib besar, dimulai dengan kemunculan Imam (a.j.f) pada suatu subuh hari Jumaat di Makkah Mukarramah. Ketika ini orang-orang yang sengsara dan mengalami kesusahan dalam hidupnya akan memperoleh nafas baru. Inilah masa yang menjadi milik orang-orang berkelayakan dan bukan lagi menjadi milik para penjajah, sebuah masa di mana hanya ketakwaan seseorang dan amal soleh-lah yang akan menjadi parameter dan tolok ukur, bukan kekayaan, kedudukan, atau pun segala sesuatu yang lain. Zaman ini diakhiri dengan syahadah Imam (a.j.f) setelah memerintah lebih kurang selama dua puluh tahun di mana zaman setelah itu menjadi perantara untuk raj'at dan bangkitnya orang-orang suci.

Ayat-ayat yang berhubungan dengan Imam ini terdapat dalam al-Quranul Karim dalam jumlah yang tidak sedikit, salah satunya adalah ayat di mana Tuhan menjanjikan pemerintahan dunia dan kemenangan sempurna bagi Islam atas seluruh agama. Riwayat yang berkaitan dengan hal ini pun begitu banyak dan berbagai, sebagaimana yang dikatakan oleh Syahid Shadr (ra), "Kumpulan dan himpunan riwayat yang berkaitan dengan Imam Mahdi (a.j.f) yang terdapat dalam sumber-sumber Sunni dan Syiah berjumlah lebih dari enam ribu riwayat. Di antaranya adalah riwayat Rasulullah (s.a.w) yang bersabda, "Mahdi (a.j.f) merupakan salah satu daripada keturunanku, akan terjadi masa ghaib untuknya … dan setelah itu dia akan datang kembali untuk menegakkan keadilan di atas bumi yang sebelumnya dipenuhi dengan kezaliman dan kekerasan".

Berbagai riwayat menyebut terdapat banyak tanda-tanda yang tidak jelas yang mendahului kemunculannya, di antaranya adalah:

1.     Keluarnya lelaki Hasyim.

2.     Bendera hitam berkibar di daerah Khurasan.

3.     Perang dunia, dan sebagainya.

Akan tetapi, sebahagian dari tanda-tanda dikatakan sebagai pengenalan pasti yang akan mengiringi kemunculan beliau, di mana antaranya adalah:

1.     Raj'at dan kembalinya Sufyani

2.     Suara panggilan dari langit.

3.     Terbunuhnya Nafsu Zakiyyah, dan sebagainya.

Jawaban Detil

Oleh kerana pertanyaan di atas sangat universal dan tidak ada pengkhususan tentang yang manakah dari kehidupan Imam (a.j.f) yang dimaksudkan, hal ini telah mendorong kami untuk memberikan sedikit pandangan tentang kehidupan dan biografi dari Imam ke-duabelas ini.

Kami akan mulai perbahasan dengan mengungkapkan sebahagian dari ramalan-ramalan yang tertera di dalam al-Quranul Karim dan riwayat-riwayat yang berkaitan dengan beliau, sesudah itu kami akan akhirinya dengan menyentuh sebahagian dari tanda-tanda kemunculan beliau.

Imam Ke-duabelas ini memiliki nama yang sama dengan Rasul Mulia (s.a.w), iaitu "Muhammad"[1], akan tetapi menurut pesanan-pesanan yang disampaikan oleh para Imam (a.s) dalam hadis-hadis mereka, penyebutan nama beliau adalah dilarang .

Imam ke-duabelas ini memiliki begitu banyak laqab dan gelaran, di antaranya ialah Mahdi, Muntadzar[2], Shahibul Ashr dan masih banyak lagi.

Imam Zaman dilahirkan di Samara pada tahun 255 Hijrah[3], di mana ayahanda mulianya adalah Imam Ke-sebelas, iaitu Imam Hasan Askari (a.s) dan ibundanya bernama Nargis.[4]

Kisah kelahiran Baqiyatullahil A'dzam ini tidak hanya terbatas dalam lingkungan kitab-kitab dan sumber-sumber Syiah sahaja, bahkan terdapat juga dalam sumber-sumber rasmi Ahlus Sunnah[5], sehinggakan aliran-aliran dan mazhab-mazhab bukan Islam pun meletakkannya sebagai sebuah prinsip yang jelas, meskipun terdapat ikhtilaf dan perbezaan kerana kefanatikan kaum atau pun kefanatikan mazhab di kalangan para pemikir bukan Islam dalam menentukan misdaq-misdaq daripada penyelamat akhir zaman ini.

Walau bagaimana pun dalam menjelaskan tahap pertama, kita harus mengatakan bahawa kehidupan Imam Keduabelas (a.j.f) diklasifikasikan dalam empat zaman berikut:

 

1.     Masa sebelum ghaib shugra (kecil).

2.     Masa ghaib kecil.

3.     Masa ghaib kubra (besar), dan

4.     Masa Kemunculan beliau.

zaman pertama, dimulai dari kelahiran Imam (a.j.f) pada tahun 255 Hijrah hingga tahun 260 Hijrah, iaitu hingga kesyahidan ayahanda mulia beliau, yang keseluruhannya berlangsung selama lima tahun beberapa bulan. Zaman ini merupakan masa pertumbuhan dan pendididiknya beliau di pangkuan Imam Ke-sebelas (a.s). Imam dan hujjah seterusnya seperti yang dikhabarkan sebagai Imam dan penyelamat terakhir bagi umat manusia hendaklah diperkenalkan kepada orang ramai supaya tidak terjadi perpecahan dan ikhtilaf di antara umat manusia. Dengan ini mungkin dapat dikatakan bahawa kejadian terpenting pada zaman ini ialah peristiwa pengenalan Imam ke-duabelas kepada orang-orang terdekat dan para pembesar Syiah. Manakala peristiwa penting selanjutnya ialah penyampaian maklumat kepada umat Islam tentang segala sesuatu yang berkaitan dengan masalah keghaiban beserta falsafahnya.

Sementara itu zaman ke-dua dimulai dari tahun 260 Hijrah yang didahului dengan kesyahidan Imam ke-sebelas (a.s), maka Imam Mahdi (a.j.f) menduduki kerusi Imamah yang berlanjutan sehingga tahun 329 Hijrah. Zaman ini merupakan waktu persiapan di kalangan pengikut Syiah untuk menghadapi zaman keghaiban besar. Oleh kerana itulah Imam (a.j.f) memilih dan mengangkat empat orang daripada kalangan Syiah yang memiliki tingkat ketakwaan tertinggi sebagai wakil-wakilnya dalam melakukan interaksi dengan masyarakat. Pada prinsipnya mereka adalah perantara bagi kaum Muslim dalam berinteraksi dan berhubungan dengan Imam. Ke-empat orang ini terkenal sebagai wakil-wakil khusus Imam, di mana nama-nama mereka adalah:

1.     Abu Umar Utsman bin Sa'id Umari.

2.     Abu Ja'far Muhammad bin Utsman Sa'd Umari.

3.     Abul Qasim Husain bin Ruh Nubakhti.

4.     Abul Hasan Ali bin Muhammad Samari (Saimari).

Setelah zaman ketiga ini selesai, akhirnya tibalah waktu di mana hubungan dan interaksi zahiriah Imam (a.j.f) dengan masyarakat terputus secara keseluruhannya. Namun disebabkan ketika kehidupan Imam ke-sebelas dan waktu kehadiran Imam ke-duabelas tepat pada masa pertama dan kedua masyarakat telah bersiap sedia dalam menghadapi ghaib besar, maka Imam dalam suratnya[6] tidak menunjuk dan menentukan wakil lain sebelum wakil terakhirnya meninggal. Dengan demikian, dengan meninggalnya Ali bin Muhammad, diistiharkan bahawa masa kedua iaitu masa ghaib kecil telah berakhir yang bererti merupakan awal dari masa ghaib besar.

Sementara itu, masa ketiga iaitu masa ghaib besar di mana saat ini kita berada di dalamnya, di mulai dari tahun 329 Hijrah iaitu setelah wakil terakhir Imam iaitu Ali bin Muhammad meninggal dunia, yang kemudian akan berlanjut hingga kemunculan Imam (a.j.f). Masa ini merupakan masa ijtihadnya para ulama dan interaksi kalbu seluruh pengikut Imam dengan beliau. Pada masa ini, kesulitan dan masalah- masalah yang dihadapi oleh masyarakat akan diselesaikan sendiri oleh Imam (a.j.f), beliau juga sentiasa akan hadir ditengah-tengah ruang lingkup ilmiah yang dilakukan oleh para Muslim dan mendampingi mereka pada setiap saat-saat yang menentukan takdir kaum Muslimin. Jarang sekali didapati orang-orang yang meyakini Imam ini tidak memiliki pengalaman peribadi dari inayah dan perhatian Imam Zaman (a.j.f).

Pada saat-saat sensitif seperti ini, di mana masyarakat pada masa ini tidak memiliki kemampuan dan kesempatan untuk melakukan hubungan secara langsung dengan Imam, beliau merujuk masyarakat ini dengan menunjuk para wakil-wakil umum[7] iaitu para cendekiawan dan fuqaha syiah dalam menghadapi peristiwa-peristiwa baru untuk menyelamatkan mereka dari kebingungan. Dengan membuat rujukan, masyarakat akan mengetahui kewajiban-kewajiban mereka terhadap hukum-hukum dan persoalan-persoalan pada saat itu.

Sedangkan zaman ke-empat merupakan waktu kehidupan Imam Zaman (a.j.f) setelah melalui zaman ketiga dan masa ini dimulai dengan kemunculan beliau, sebuah kemunculan yang tidak diketahui secara pasti di mana hal ini banyak terdapat dalam riwayat-riwayat. Zaman kemunculan Imam seiring dengan kerosakan yang semakin meliputi muka bumi, sehingga menjelang revolusi dunia yang menjadi satu-satunya jalan penyelamat manakala harapan masyarakat pula adalah kemunculan beliau.

Pada saat itu sesuai dengan firman Allah (s.w.t), kemudahan dan kebahagiaan akan mulai kelihatan menggantikan kesulitan dan kecelakaan, maka pada saat inilah Imam (a.j.f) akan muncul dan menyelamatkan bumi dari kezaliman serta kekerasan, manakala agama hakiki Islam yang menjadi sumber kemuliaan akan berdiri dengan tegak. Pada saat ini orang-orang yang sengsara akan merasakan nafas baru dalam kehidupannya dan mendapati tidak ada lagi jurang antara kelompok atas dan bawah, tidak ada lagi perbezaan kasta di tengah-tengah masyarakat, kerana yang menjadi parameter hanyalah kebaikan manusia, bukan lagi tingkat kedudukan sosial, bukan warna kulit dan keturunan, melainkan ketakwaan.

Telah dikatakan bahawa setelah Imam (a.j.f) memegang tampuk pemerintahan Ilahi[8] selama lebih kurang dua puluh tahun, kehidupan beliau akan berakhir seperti yang dialami oleh ayah-ayah mulia beliau yang syahid di tangan para pemfitnah. Kesyahidan beliau ini menjadi permulaan peristiwa raj'at. Iaitu kembali berada dalam naungan orang-orang shaleh dan orang-orang yang benar, kembali ke masa Husain dan para ahli Asyura dan hari ini merupakan hari Tuhan.

Setelah menjelaskan tentang kehidupan yang penuh berkat dari Imam Zaman (a.j.f), tiba saatnya untuk menjelaskan perbahasan yang kedua iaitu tentang ramalan-ramalan al-Quran dan riwayat-riwayat yang berkaitan dengan karakteristik serta pemerintahan Imam Keduabelas (a.j.f).

Oleh kerana pada umumnya ayat-ayat al-Quran ketika menginformasikan berita-berita ghaib tentang masa akan datang, ia sentiasa mengisyaratkan tentang ciri-cirinya di samping menghindarkan diri dari menyebutkan nama orang atau tempatnya secara langsung, pada ayat-ayat yang berkaitan dengan Imam ke-duabelas (a.j.f) ini pun hanya menyebutkan pengkhususan- pengkhususan di mana secara praktikal tidak ada manifestasi dan objek lain selain Imam (a.j.f). Salah satu dari ayat ini adalah ayat ke 5-6 surah al-Qashash di mana Allah (s.w.t) berfirman, "Dan Kami hendak memberi kurnia kepada orang-orang yang tertindas di muka bumi itu, hendak menjadikan mereka pemimpin, dan menjadikan mereka orang-orang yang mewarisi (bumi), dan akan Kami teguhkan kedudukan (kekuasaan) mereka di muka bumi, dan akan Kami perlihatkan kepada Fira‘un dan Haman beserta tentera mereka apa yang selalu mereka khuatirkan dari mereka (Bani Isra’il) itu." Ayat-ayat yang lain diturunkan berkaitan dengan Imam (a.j.f) adalah ayat ke 55 surah An-Nur di mana Allah (s.w.t) berfirman, "Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal-amal yang soleh bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka berkuasa, dan sungguh Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredai-Nya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka yang berada dalam ketakutan menjadi aman sentosa."  Demikian surah Al-Anbiya ayat 105 dengan firman-Nya, "Dan sungguh Kami telah tulis di dalam Zabur sesudah (Kami tulis dalam) azd-Dzikr (Taurat) bahawasanya hamba-hamba-Ku yang soleh akan mewarisi bumi ini." Dari sini jelas bahawa jika misdaq ayat-ayat tersebut bukan Imam (a.j.f), maka ayat-ayat ini hanyalah merupakan slogan-slogan semata-mata yang jauh dari realiti, yang tentu saja hal ini akan bertentangan dan tidak sama dengan kemukjizatan al-Quran. Untuk mengetahui maklumat lebih jauh tentang tafsir-tafsir ayat di atas, anda boleh merujuk kepada berbagai kitab yang membahaskan masalah ini.

Walau bagaimanapun riwayat tentang kezuhuran Imam Mahdi yang dijanjikan ini terlalu banyak. Menurut pernyataan Syahid Muhammad Baqir Shadr (r.a), jika kita menghitung berita-berita yang datang dari kalangan Syiah mahupun Ahlu Sunnah, maka kita akan menemui riwayat-riwayat yang berhubungan dengan Imam Mahdi (a.j.f) ini sehingga mencapai jumlah enam ribu riwayat.[9] Dengan berniat mengambil berkat kami cukuplah kami menyebut salah satu contoh saja. Dalam sebuah hadis daripada Rasulullah (s.a.w) dikatakan bahawa baginda bersabda, "Al-Mahdi merupakan salah seorang daripada putera-puteraku. Akan terjadi waktu keghaiban untuknya … dan setelah itu dia akan kembali lagi dan memenuhi bumi dengan keadilan sebagaimana sebelumnya telah dipenuhi dengan kezaliman."[10]

Terdapat begitu banyak riwayat-riwayat mutawatir tentang Imam Mahdi (a.j.f) yang sama sekali tidak dapat diragukan, dan kita dapat menemukannya di dalam kitab-kitab Ahlu Sunnah yang telah disusun oleh orang Islam sebelum kelahiran Imam (a.j.f) sendiri.[11]

Perbahasan terakhir yang akan kami bahaskan di sini adalah tanda-tanda kemunculan Imam Hujjah (a.j.f) yang akan kami klasifikasikan ke dalam dua kelompok iaitu tanda-tanda yang pasti[12] dan tanda-tanda yang tak pasti.[13]

Tanda-tanda tak pasti dikatakan untuk tanda-tanda yang menunjukkan hampirnya kemunculan, jumlah tanda-tanda ini sangat banyak iaitu antara yang lain adalah:

1.     Munculnya seorang lelaki Hasyimi.

2.     Terpacak bendera-bendera hitam di wilayah Khurasan.

3.     Gerhana bulan

4.     Turunnya hujan yang sangat banyak

5.     Perang dunia.

Sedangkan yang dimaksudkan dengan tanda-tanda pasti adalah kelompok tanda-tanda yang secara yakin dengan kemurahan-Nya akan muncul setelah tanda-tanda tak pasti, dan sebahagian darinya adalah:

1.     Gerakan progresif penduduk Yaman.

2.     Raj'atnya Sufyani.

3.     Suara panggilan dari langit.

4.     Tenggelamnya permukaan bumi.

5.     Terbunuhnya Nafsu Zakiyah.

Dan akhirnya, kami katakan bahawa apa yang telah kami sebutkan di atas telah menjadi kesepakatan di kalangan seluruh ulama Islam, baik dalam aliran Syiah maupun Ahlu Sunnah.

 

Sumber untuk maklumat lebih lanjut:

1.     Thabarsi, Fadhl bin Hasan, A'lam al-wara bia'lam al-Huda.

2.     Ibnu Hajar, Al-Shawaiq Al-Muharraqah.

3.     Shadr, Sayyid Shadruddin, Al-Mahdi.

4.     Qazwini, Sayyid Muhammad Kadzim, Imam Mahdi az Wiladat to Dhuhur, terjemahan, Karami, Ali, Husaini, Muhammad.

5.     Imam Mahdi Hamoseh-i az Nur, Syahid Muhammad Baqir Shadr.

6.     Biharul Anwar, Muhammad Baqir Majlisi,

7.     Raudhah Al-Wa'idhin, Muhammad bin Fattal Nesyaburi.

8.     Sireye Pisyvoyon, Mahdi Pisyvoi.

9.     Muntahabul Atsar fi Al-Imam Atstani Asyar, Lutfullah Shafi.

10.  Wasail As-Syiah, Syeikh Hurr Amuli.



[1] . A'lamul Warâ, hal. 417.

[2] . Imâm Mahdi az Wilâdat ti Dhuhur, hal. 58.

[3] . Raudhatul Wâ'idhin, hal. 292.

[4] . Ibid, hal. 283.

[5] . Al-Shawâ'iq Al-Muhriqah, hal. 208.

[6] . Majlisi, Bihâr al-Anwâr, jil. 51, hal. 361.

[7] . Hurr Amuli, Wasâil as-Syiah, jil. 18, hal. 101.

[8] .Imâm Mahdi az Wilâdat to Zhuhur, hal. 779.

[9] . Farâid As-Simthain, jil. 2, hal. 335, berdasarkan nukilan dari buku Imam Mahdi az Wiladat ta Dhuhur, hal. 102.

[10] . Pisyvoi, Mahdi, Dire-ye Pisyvoyon, hal. 697.

[11] . Rujuklah: Imam Mahdi az Wiladat ta Dhuhur, hal. 464-561.

[12] . Shadr, Muhammad Baqir, Imam Mahdi Hamoseh-i az Nur, terjemahan Kitabkhaneh Buzurg-e Islami, hal. 66.

[13] . Indeks-indeks: Tanda-tanda Dhuhur Imam Mahdi Ajf, pertanyaan ke 49; Imam Mahdi Ajf wa Suquth-e Hukumat, pertanyaan ke 43; Keistimewaan-keistimewaan setelah Kemunculan, Kejadian-kejadian setelah Kemunculan Imam Mahdi Ajf, pertanyaan ke 127, dsb.

Terjemahan pada Bahasa Lain
Opini
Bilangan komen 0
Sila masukkan nilai
contoh : Yourname@YourDomane.ext
Sila masukkan nilai
Sila masukkan nilai

Kategori

Pertanyaan-pertanyaan Acak

Populer Hits